Putrajaya
Putrajaya
Prang Besar / Air Hitam | |
---|---|
Wilayah Persekutuan Putrajaya | |
Transkripsi Lain-lain | |
• Jawi | ڤوتراجاي |
• Cina | 布城 |
• Tamil | புத்ராஜெயா |
![]() Bahagian atas kiri ke kanan: Masjid Putra dan Perdana Putra, bangunan Kementerian Kesihatan di bahagian bawah kiri ke kanan: Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya , kompleks kementerian bertingkat tinggi, Presint 1 Putrajaya dari atas | |
Cogan kata: Bandar raya Taman, Bandar raya Bestari | |
![]() | |
![]() | |
Koordinat: 2°56′35″N 101°41′58″E / 2.9430952°N 101.699373°EKoordinat: 2°56′35″N 101°41′58″E / 2.9430952°N 101.699373°E | |
Negara | ![]() |
Mula diduduki | s. 1921 |
Penubuhan | 19 Oktober 1995 |
Dijadikan Wilayah Persekutuan | 1 Februari 2001 |
Pentadbiran | |
• Jenis | Pemerintahan persekutuan dengan kerajaan tempatan |
• Badan | Perbadanan Putrajaya |
• Pengerusi | Fadlun Mak Ujud |
Keluasan | |
• Jumlah | 49 km2 (19 batu persegi) |
Penduduk (2020)[2] | |
• Jumlah | 109,202 |
• Kepadatan | 2,200/km2 (5,800/batu persegi) |
Indeks | |
• IPM (2023)[3] | 0.890 (sangat tinggi) |
Zon waktu | UTC+8 (WPM) |
Poskod | 62xxx |
Kod panggilan | +603-88 |
Kod ISO 3166 | MY-16 |
Min waktu suria | UTC+06:46:40 |
Nombor plat kenderaan | F |
Laman sesawang | www |
Putrajaya atau (Tulisan Jawi: ڤوتراجاي) nama penuhnya Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah pusat pentadbiran bagi ibu negara Malaysia. Putrajaya meliputi kawasan seluas 49 kilometer persegi[1], diduduki lebih 109 ribu orang pada tahun 2020[2]. Majoriti penduduk di bandar ini merupakan Bumiputera, dan sebahagian besarnya merupakan penjawat awam yang bekerja di pejabat kerajaan yang bertempat di ibu kota ini. Putrajaya terletak di kawasan selatan negeri Selangor, berjarak 25 kilometer dari selatan Kuala Lumpur.
Pusat pentadbiran kerajaan Malaysia telah dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Putrajaya bermula pada tahun 1999 kerana masalah kesesakan dan kepadatan yang serius di Kuala Lumpur.[4] Namun, Kuala Lumpur masih kekal sebagai ibu negara Malaysia mengikut Perlembagaan, dan kekal sebagai pusat perundangan, kewangan dan komersial negara. Pada 1 Februari 2001, Putrajaya telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga di Malaysia, selepas Kuala Lumpur dan Labuan.
Penubuhan Putrajaya merupakan hasil perancangan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, dengan pembangunannya bermula pada Ogos 1995. Pembangunan bandar ini juga dianggarkan menelan kos sebanyak US$8.1 bilion.[5] Kini, bandar ini menempatkan Perdana Putra, kompleks pentadbiran utama kerajaan Persekutuan, kompleks-kompleks kementerian, kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalannya serta kawasan perumahan pekerja kerajaan.
Etimologi
[sunting | sunting sumber]Perkatan "putra" (पुत्र) dan "jaya" (जया) dua-duanya berasal kata serapan bahasa Sanskrit.[6] Dari segi akar bahasa Melayu, istilah Putrajaya berasal dari putera yang sangat berjaya, yang bermaksud warga Malaysia yang berjaya. Lebih khususnya lagi, Bumiputra yang telah berjaya menerajui negara Malaysia. Bagi pelancong asing yang melawat Putrajaya, ia seakan-akan Washington, D.C. di Amerika Syarikat, Canberra di Australia, dan Brasilia di Brazil. Secara kebetulan atau tidak, Datuk Kelana Putra pernah menguasai jajahan Serdang yang menyebabkan Putrajaya adalah sebahagian daripada kawasan Serdang. Tapi sebenarnya, Putrajaya lebih merujuk kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama.[7]
Sejarah dan reka bentuk
[sunting | sunting sumber]
Putrajaya, yang pada asalnya bernama Prang Besar, telah diasaskan sebagai sebuah ladang getah pada tahun 1921 oleh veteran perang British.[8] Pada asalnya ia meliputi kawasan seluas 800 ekar (3.2 km2), ia kemudian diperluaskan sehingga 8,000 ekar (32 km2), dan digabungkan dengan kawasan ladang sekitar, termasuk Ladang Raja Alang, Ladang Galloway dan Ladang Bukit Prang.
Putrajaya dan kawasan sekitarnya berada di bawah pentadbiran daerah Hulu Langat sehingga tahun 1974. Dari tahun 1975 hingga 2001, Putrajaya kemudiannya berada di bawah pentadbiran daerah Sepang.
Wawasan untuk memiliki pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baharu bagi menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran muncul pada akhir 1980-an, semasa tempoh jawatan Perdana Menteri Malaysia keempat, Mahathir Mohamad. Bandar baharu ini telah dicadangkan untuk terletak di lokasi antara Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dua kawasan telah dikemukakan, Prang Besar dan Janda Baik di Pahang.[9] Kerajaan kemudiannya memilih Prang Besar sebagai tapak bandar yang bakal dibangunkan. Nama Putrajaya dipilih untuk tapak bandar baharu tersebut.
Kerajaan Persekutuan berunding dengan negeri Selangor untuk kemungkinan pembangunan Wilayah Persekutuan yang lain dan pada pertengahan tahun 1990-an, kerajaan Persekutuan membayar sejumlah besar wang ke Selangor bagi 11,320 ekar (45.8 km2) tanah di Prang Besar, Selangor. Hasil daripada pembelian tanah ini, negeri Selangor kini sepenuhnya mengelilingi dua Wilayah Persekutuan dalam sempadan, iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dirancang sebagai taman dan bandar pintar, 38% kawasan telah dikhaskan untuk kawasan hijau dengan menekankan landskap semula jadi. Satu rangkaian kawasan lapang dan jalan-jalan yang luas digabungkan dalam pelan tersebut. Pembinaan bermula pada bulan Ogos 1995 dan ia merupakan projek terbesar di Malaysia dan salah satu yang terbesar di Asia Tenggara dengan anggaran kos akhir US$8.1 bilion. Keseluruhan projek telah direka dan dibina oleh syarikat Malaysia dengan hanya 10% daripada bahan-bahan yang diimport. Kebanyakan bangunan di Putrajaya dibina dengan unsur Islam tertentu dari Timur Tengah dan Asia Tengah, bagi mencerminkan identiti pan-Islamik kosmopolitan berbanding unsur tempatan yang sering ditemui di Asia Tenggara khususnya beberapa bangunan di Kuala Lumpur.
Krisis Kewangan Asia 1997 telah memperlahankan pembangunan Putrajaya. Pada tahun 1999, 300 orang kakitangan Pejabat Perdana Menteri telah berpindah ke Putrajaya dan baki kakitangan kerajaan yang tinggal telah berpindah pada tahun 2005. Pada 1 Februari 2001, Mahathir Mohamad mengisytiharkan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan ketiga dengan upacara penyerahan rasmi Putrajaya daripada kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan Persekutuan.
Pada tahun 2002, laluan tren yang dikenali sebagai KLIA Transit telah dibuka, menghubungkan Putrajaya dengan Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. Satu sistem monorel yang dikenali sebagai Monorel Putrajaya juga pernah dirancang dan dibina di bandar ini, namun pembinaannya dihentikan pada tahun 2004 kerana kos yang tinggi. Salah satu jambatan gantung monorel di Putrajaya masih tidak digunakan. Pada tahun 2023, satu laluan transit aliran (MRT) iaitu Laluan Putrajaya telah dibuka, menghubungkan bandar ini dengan Sungai Buloh, Kuala Lumpur dan Serdang.
Pada tahun 2007, penduduk Putrajaya dianggarkan lebih 30,000, yang terdiri terutamanya kakitangan kerajaan. Kakitangan kerajaan telah digalakkan untuk berpindah ke bandar melalui pelbagai subsidi dan pinjaman program kerajaan.
Pada bulan April 2013, kerajaan Putrajaya telah menandatangani surat hasrat (LOI) dengan kerajaan Bandar Sejong di Korea Selatan untuk menjalinkan kerjasama antara kedua-dua bandar.[10]
Kerajaan dan politik
[sunting | sunting sumber]
Tugas pentadbiran Putrajaya berada di bawah tanggungjawab Perbadanan Putrajaya (PPj), satu badan kerajaan tempatan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Badan ini bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kebersihan awam, pelupusan dan pengurusan sampah dan bahan buangan, perancangan bandar, perlindungan alam sekitar dan kawalan pembinaan, pembangunan sosial dan ekonomi dan penyelenggaraan prasarana bandar secara amnya. Badan ini diketuai oleh seorang pengerusi yang kini disandang oleh Fadlun Mak Ujud.
Setakat 2012[kemas kini], hampir kesemua kementerian kerajaan Malaysia telah berpindah ke Putrajaya kecuali Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kerja Raya yang masih yang berada di Kuala Lumpur.[11] Bangunan Parlimen Malaysia dan kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong, Istana Negara juga masih kekal di Kuala Lumpur. Kesemua bangunan kedutaan dan perwakilan asing masih kekal di Kuala Lumpur kecuali Brunei dan Qatar.
Putrajaya diwakili dalam Parlimen Malaysia oleh seorang wakil rakyat dalam Dewan Rakyat, iaitu yang diundi melalui kerusi Putrajaya dan seorang senator yang dilantik dalam Dewan Negara.
Geografi
[sunting | sunting sumber]Putrajaya terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia, tepatnya di selatan negeri Selangor. Ia dikelilingi sepenuhnya oleh daerah Sepang yang berada dalam negeri Selangor. Putrajaya mencakupi kawasan seluas 49 kilometer persegi, menjadikannya wilayah paling kecil di Malaysia. Sebahagian besar bentuk muka buminya merupakan kawasan rata dengan purata ketinggian dalam 40 meter. Terdapat juga beberapa kawasan yang agak berbukit dan beralun, dengan ketinggian tertinggi mencecah 150 meter.
Di tengah bandar ini terdapat satu lembangan tasik buatan manusia iaitu Tasik Putrajaya yang berkeluasan 650 hektar, merupakan tasik buatan manusia terluas di Asia Tenggara.
Iklim
[sunting | sunting sumber]Putrajaya mempunyai iklim khatulistiwa (Af) dengan curahan hujan lebat dan suhu yang panas sepanjang tahun. Purata suhu harian di Putrajaya ialah 27.1 °C, dengan purata tertinggi direkodkan pada bulan Mei. Purata suhu maksimum harian mencapai 31.6 °C. Sepanjang tempoh setahun, purata kerpasan atau taburan hujan direkodkan mencapai 2,307 mm, dengan taburan tertinggi direkodkan pada bulan November.
Data iklim untuk Putrajaya | |||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Bulan | Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogo | Sep | Okt | Nov | Dis | Tahun |
Purata maksimum suhu harian, °C (°F) | 31.1 (88.0) |
31.9 (89.4) |
32.4 (90.3) |
32.2 (90.0) |
32.0 (89.6) |
31.7 (89.1) |
31.4 (88.5) |
31.3 (88.3) |
31.3 (88.3) |
31.2 (88.2) |
31.1 (88.0) |
31.0 (87.8) |
31.6 (88.8) |
Purata suhu harian, °C (°F) | 26.5 (79.7) |
27.1 (80.8) |
27.4 (81.3) |
27.6 (81.7) |
27.7 (81.9) |
27.4 (81.3) |
27.0 (80.6) |
27.0 (80.6) |
26.9 (80.4) |
26.9 (80.4) |
26.9 (80.4) |
26.7 (80.1) |
27.1 (80.8) |
Purata minimum suhu harian, °C (°F) | 22.0 (71.6) |
22.3 (72.1) |
22.5 (72.5) |
23.1 (73.6) |
23.4 (74.1) |
23.1 (73.6) |
22.6 (72.7) |
22.8 (73.0) |
22.6 (72.7) |
22.7 (72.9) |
22.8 (73.0) |
22.4 (72.3) |
22.7 (72.8) |
Purata kerpasan, mm (inci) | 168 (6.6) |
150 (5.9) |
227 (8.9) |
250 (9.8) |
188 (7.4) |
118 (4.6) |
121 (4.8) |
154 (6.1) |
176 (6.9) |
254 (10.0) |
268 (10.6) |
233 (9.2) |
2,307 (90.8) |
Sumber: Climate-Data.org[12][13] |
Demografi
[sunting | sunting sumber]Penduduk
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 2007, penduduk Putrajaya dianggarkan lebih dari 30,000 orang, yang sebahagian besarnya terdiri daripada kakitangan kerajaan. Penjawat awam digalakkan berpindah ke bandar ini melalui pelbagai subsidi kerajaan dan program pinjaman. Pada tahun 2010, jumlah penduduk direkodkan telah meningkat kepada 68,361 orang.[15] Mengikut Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, jumlah penduduk Putrajaya ialah seramai 109,202 orang.[2] Putrajaya juga merupakan wilayah kedua terpadat di Malaysia selepas Kuala Lumpur, dengan kepadatan lebih 2,220 orang perkilometer persegi.
Sebahagian besar penduduk Putrajaya tergolong dalam kumpulan Bumiputera dengan peratusan lebih 95%, majoritinya merupakan masyarakat berbangsa Melayu. Putrajaya juga merupakan antara wilayah di Malaysia yang mempunyai peratusan Bumiputera tertinggi. Penduduk Putrajaya juga terdiri daripada beberapa bangsa minoriti lain seperti India, Cina dan beberapa etnik Sarawak dan Sabah. Lebih 2,800 orang atau 2.6% merupakan warganegara asing.
Kadar pertumbuhan penduduk di Putrajaya dicatatkan sebanyak 4.7% pada tahun 2020. Kadar kelahiran kasar di Putrajaya telah menurun dari kadar 33.1 pada tahun 2010 kepada kadar 19.5 pada tahun 2020. Putrajaya merupakan wilayah yang mencatatkan peratusan penduduk berumur kurang 15 tahun tertinggi di Malaysia, dengan peratusan sebanyak 38% dari jumlah penduduk. Namun begitu, majoriti penduduk Putrajaya berada dalam lingkungan umur bekerja (15-64 tahun) iaitu 60.6% manakala penduduk yang berumur lebih 64 tahun mencatatkan hanya 1.4%.[16]
Kaum/ Etnik | Populasi | |||
---|---|---|---|---|
2010[17] | 2020[14] | |||
Melayu | 64,644 | 94.6% | 101,820 | 93.2% |
Bumiputera lain | 787 | 1.1% | 2,324 | 2.1% |
Jumlah Bumiputera | 65,431 | 95.7% | 104,144 | 95.4% |
India | 820 | 1.2% | 1,303 | 1.2% |
Cina | 452 | 0.7% | 670 | 0.6% |
Lain-lain | 82 | 0.1% | 264 | 0.2% |
Jumlah warganegara | 66,785 | 97.7% | 106,381 | 97.4% |
Bukan warganegara | 1,576 | 2.3% | 2,821 | 2.6% |
Jumlah | 68,361 | 100.00% | 109,202 | 100.00% |
Demografi agama
[sunting | sunting sumber]Menurut Bancian Malaysia 2020, agama Islam merupakan agama terbesar di Putrajaya, dengan lebih 97% dari jumlah penduduk merupakan penganut Islam. Majoriti antara mereka merupakan penduduk berbangsa Melayu, dan Islam juga dianuti sebahagian besar warganegara asing di bandar ini. Terdapat juga agama lain yang membentuk kumpulan minoriti di bandar ini iaitu agama Hindu (1.1%) yang dianuti majoriti kaum India, agama Kristian yang dianuti majoriti Bumiputera selain Melayu, dan juga agama Buddha.[18]
Pengangkutan
[sunting | sunting sumber]
Putrajaya dilengkapi dengan jaringan lebuh raya dan jalan raya yang menyeluruh, menghubungkannya dengan destinasi lain di Semenanjung Malaysia. Terdapat beberapa rangkaian jalan utama di Putrajaya seperti Persiaran Persekutuan, Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Persiaran Utara dan Lebuh Sentosa. Putrajaya juga menempatkan bulatan jalan terbesar di dunia di Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang berdiameter 3.5 km. Antara jambatan jalan raya utama yang terdapat di Putrajaya termasuklah Jambatan Seri Perdana, Jambatan Putra, Jambatan Seri Wawasan dan Jambatan Seri Saujana.
Terdapat dua laluan perkhidmatan rel di Putrajaya, iaitu laluan komuter KLIA Transit dan laluan transit aliran (MRT), Laluan Putrajaya. KLIA Transit ialah salah satu daripada dua laluan kereta api lapangan terbang di Malaysia, menghubungkan KL Sentral dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, juga dengan tiga stesen di antaranya termasuklah Putrajaya. MRT Laluan Putrajaya pula ialah laluan metro kelima di Malaysia, menghubungkan Putrajaya dengan beberapa lokasi lain di Lembah Klang. Putrajaya Sentral merupakan hab pengangkutan utama di Putrajaya, menyediakan perkhidmatan bas dan menjadi stesen paling selatan dalam Laluan MRT Putrajaya.
Perkhidmatan bas henti-henti juga disediakan di Putrajaya oleh Perbadanan Putrajaya, melalui anak syarikatnya Nadi Putra yang menggunakan bas berkuasa gas asli dan bas elektrik. Bas ini menyediakan perkhidmatan di Putrajaya dan Cyberjaya, serta menyediakan laluan bas ekspres ke Kuala Lumpur melalui Puduraya dan ke beberapa bandar lain. RapidKL, Causeway Link dan Cityliner turut menyediakan perkhidmatan bas dari Putrajaya Sentral kepada lokasi lain seperti Banting, Puchong, Bandar Utama dan Petaling Jaya.
Pelancongan
[sunting | sunting sumber]Selain daripada pusat pentadbiran kerajaan Persekutan, Putrajaya juga terkenal dengan keindahan serta tarikan pengunjung. Antara tarikan pelancongan yang terletak di sekitar Putrajaya ialah:
- Perdana Putra
- Masjid Putra
- Jambatan Putra
- Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin
- Dataran Putrajaya
- Monumen Alaf Baru
- Istana Kehakiman
- Seri Perdana
- Jambatan Seri Perdana
- Putrajaya Landmark
- Taman Wetland Putrajaya
- Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
- Taman Selatan
- Yayasan Kepimpinan Perdana
- Istana Melawati
- Dataran Warisan
- Kementerian Kewangan Malaysia
- Wisma Putra
- Istana Darul Ehsan
- Tasik Putrajaya
- Taman Wawasan
- Taman Botani Putrajaya
Galeri gambar
[sunting | sunting sumber]-
Landskap Putrajaya dari pemandangan atas - Okt 2013
-
Pejabat Jabatan Perdana Menteri Malaysia di Perdana Putra
-
Kompleks Perbadanan Putrajaya
-
Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia (Perbendaharaan Negara Malaysia).
-
Putrajaya Walk
-
Pejabat Jabatan Perdana Menteri dan Masjid Putra ketika waktu malam.
-
Pandangan dalam Jambatan Seri Wawasan.
-
Masjid Putra berlatar belakangkan Pejabat Jabatan Perdana Menteri
-
Jambatan Seri Saujana pada waktu malam.
-
Hotel Lakeside Pullman Putrajaya
-
Seni bina moden termasuk lampu jalan.
-
Pejabat MAMPU Jabatan Perdana Menteri, Pada tahun 2017.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Putrajaya. |
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b "Laporan Kiraan Permulaan 2010". Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. 27. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2011. Dicapai pada 24 Januari 2011.
- ^ a b c "Statistik Subnasional Parlimen dan DUN: Parlimen Putrajaya, W.P. Putrajaya" (PDF). Parlimen Malaysia. Jabatan Perangkaan Malaysia. Februari 2022. m/s. 7. ISBN 978-967-0010-10-6. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 25 Jun 2023. Dicapai pada 25 Jun 2023.
- ^ "Malaysia Human Development Index (MHDI), 2023". Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 11 Disember 2024.
- ^ Mahbob, Maizatul Haizan; Musa, Mohamad Zain (Januari 2005). Tinjauan Baru Politik Malaysia (PDF). Universiti Kebangsaan Malaysia. m/s. 24–27. ISBN 967-942-693-9.
- ^ Landau, Esther (2020-09-25). "NST175: From Prang Besar to Putrajaya | New Straits Times". NST Online (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-09-02.
- ^ Edi Sedyawati; Ellya Iswati; Kusparyati Boedhijono; Dyah Widjajanti D. (1994). Kosakata Bahasa Sanskerta dalam Bahasa Melayu Masa Kini. Jakarta, Indonesia: Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa. Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia.
- ^ "Fanciful origins of Malaysian town names". The Star (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-09-02.
- ^ "The Story of Prang Besar". Arabis.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 Januari 2019.
- ^ Abdullah, Hasfiza (Februari 2012). Dari Prang Besar ke Putrajaya. Dewan Bahasa dan Pustaka. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-04-04. Dicapai pada 26 October 2015.
- ^ "Closer ties between Putrajaya and Sejong, Korea." (Archived from the original) The Star (Malaysia). Saturday 6 April 2013. Updated on Friday 26 April 2013. Retrieved on 1 January 2014.
- ^ "Malaysian envoy acclaims Sejong City." (Archive) The Korea Times. 23 September 2012.
- ^ "Climate: Putrajaya" [Iklim: Putrajaya]. Climate-Data.org. Dicapai pada Julai 30, 2020.
- ^ "Putrajaya climate: Average Temperature, weather by month, Putrajaya weather averagesg". En.climate-data.org. Dicapai pada 14 December 2021.
- ^ a b "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Wilayah Persekutuan Putrajaya". Jabatan Perangkaan Malaysia. Mei 2022. ISBN 978-967-253-512-6. Dicapai pada 7 Mac 2025.
- ^ "Population by States and Ethnic Group". Department of Information, Ministry of Communications and Multimedia, Malaysia. 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Februari 2016. Dicapai pada 12 February 2015.
- ^ "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
- ^ "2010 Population and Housing Census of Malaysia" (PDF). Department of Statistics, Malaysia. m/s. 94. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 5 February 2013.
- ^ "2010 Population and Housing Census of Malaysia" (PDF) (dalam bahasa Malay dan English). Department of Statistics, Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 22 May 2014. Dicapai pada 17 June 2012.CS1 maint: unrecognized language (link)